Jumaat, 25 Disember 2009

Salam Ma'al hijrah.

Salam perjuangan dan salam Ma’al Hijrah buat sahabat-sahabat yang bertandang ke blog hamba yang dhaif ini, alhamdulillah masih lagi dikurniakan kita semua kesempatan untuk meraikan tahun baru islam.

Bercakap tentang tahun baru islam terpanggil juga rasanya untuk berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan yang berlegar di memori fikiran ini...

Di antara peristiwa yang besar dan agung di dalam lipatan sejarah islam adalah hijrah, sepertimana yang kita maklum dengan peristiwa Hijrah, terlalu banyak kezaliman dan kekejaman kaum Quraish terhadap umat awal islam, pelbagai penyiksaan yang telah direka oleh mereka supaya dapat memalingkan keimanan umat awal islam kepada tuhan-tuhan mereka, akan tetapi usaha mereka hanya tinggal keletihan, umat awal islam yang bersama Baginda Muhammad s.a.w telah meninggalkan satu tauladan yang baik untuk kita semua pelajari dan hayati tentang agungnya keimanan yang ada di dalam hati-hati mereka.

"Tanpa tauladanMu pasti kami di akhir zaman ini akan goyah keimanan"

Pada suatu hari Jibril a.s telah mambawa wahyu menyuruh Baginda s.a.w dan sahabat-sahabat berhijrah ke bumi Yathrib yang mana untuk memelihara keimanan sahabat-sahabat yang dhaif.

Lalu bermulalah episod hijrah di dalam islam, episod pertama hijrah secara rahsia dan episod kedua hijrah secara terang-terangan.
Ramailah sahabat yang dhaif mengambil episod secara rahsia kerana takut di ketahui oleh kaum musyrikin makkah, yang mengambil episod terang-terangan di antaranya hulubalang islam Umar Al-khattab r.a dengan kata-katanya yang masyhur "Aku Umar ingin berhijrah, siapa di kalangan kamu inginkan isterinya menjadi janda atau anaknya menjadi yatim silalah tunggu aku di belakang bukit dan halanglah aku dari berhijrah"

Di pendekkan cerita berjayalah peristiwa hijrah di dalam sejarah islam, hiduplah umat islam di bumi bertuah yathrib dengan aman damai dari kalangan muhajirin dan ansar, ikatan persaudaraan telahpun disimpul kukuh oleh Baginda s.w, binaan masjid tempat berkumpulnya muhajirin dan ansar juga sudah di bina bersama-sama dan pasar khusus bagi umat islam sudahpun di rasmikan.

Walau bagaimanapun "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri" perasaan muhajirin lemah kerana rindukan kampung halaman, sungguh berat rasanya untuk meneruskan kehidupan di bumi yathrib, berita ini sampai kepada Baginda s.a.w lalu Baginda s.a.w mengangkat tangan berdoa memohon supaya Allah mencampakkan perasaan kasih pada bumi yahtrib...

Semakin hari semakin bertambah orang yang memelut agama islam, lalu makin bertambahlah kekuatan umat islam, ghazwah demi ghazwah alhamdulillah banyak berpihak kepada islam sehinggalah umat islam dapat menawan kota makkah, sabda Baginda s.w "tiada hijrah lagi selepas pembukaan kota makkah"...

Itulah kisah hijrah secara ijmali (ringkas) , akan ana kongsikan bersama hikmah dan pengisian dari hijrah ini.

1- Ketabahan iman : walaupun umat islam di tekan dari semua sudut namun keimanan mereka membuktikan bahawa tiada siapa yang dapat memesongkan pegangan aqidah mereka, kaum musyrikin makkah dapat menyiksa jasad mereka akan tetapi tidak dapat menyiksa ruh keimanan yang telah sebati dengan darah daging mereka.

Lihatlah pedoman yang telah di tinggalkan oleh umat awal islam, mereka sanggup gadaikan nyawa, harta dan pangkat demi untuk memelihara aqidah islam yang suci.
Bagaimana pula dengan kita? Baru sahaja diuji sedikit sanggup menggalang gantikan keimanan demi untuk kepuasan hawa nafsu. (Nau’zubillah..)

2- Hijrah ke arah kemajuan : Ya benar hijrah adalah perpindahan dari tempat buruk ke tempat baik, dari kegelapan kufur kepada cahaya iman, dari kejahilan kepada berilmu,dari alam kuno ke arah ketamadunan, dari alam maya ke alam akhirat. Semua ada kaitan dengan hijrah, tauladan yang telah di tinggalkan oleh Baginda s.a.w amatlah berharga kerana mengajar umatnya berhijrah atau membina kehidupan kearah kemajuan. Kemajuan yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w adalah kemajuan yang mutlaq (hakiki) yang mana untuk mencari keredhaan Rabbul Jalil, tanpa keredhaan Allah segala yang dimiliki hanyalah sia-sia.

3- Hijrah adalah suatu perkara yang bernilai : Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa hijrah adalah suatu perkara yang bernilai, tahun baru islam telah di perkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a bersempena dengan hijraturrasul s.a.w.

Alangkah besarnya jasa beliau demi untuk melahirkan islam yang tersusun rapi dari semua aspek, akan tetapi yang mendukacitakan kita pada akhir zaman ini tahun islam hanya diguna pada waktu tertentu sahaja, sepertimana untuk berpuasa,berhari raya dan berhaji, urusan lain tahun masihi yang di ambil sebagai panduan, contoh penerimaan gaji, meraikan hari lahir dan lain-lain,semuanya berpandukan dengan tahun masihi. Jika Saidina Umar r.a masih ada di kalangan kita hari ini sudah tentu beliau akan terharu dengan kelakuan kita, seperti melupakan jasa baik beliau.

Sempena awal muharram yang menjadi titik permulaan tahun baru islam ini, ana menyeru kepada sahabat-sahabat agar bangkit dari buaian mimpi yang lena ini. Kaum kuffar yang tidak pernah leka dari rekaan untuk melalaikan kita akan terus menerus misi dan visi mereka agar umat islam tidak akan bangkit lagi. Segala kecanggihan yang ada pada masa kini biarlah ia dijadikan satu wadah untuk sebarkan atau kejutkan umat islam demi untuk mengembalikan kekuasaan islam yang telah terbina dahulu…

(Nur Hamizatul Iman)

Tiada ulasan:

Catat Komen