Ahad, 18 April 2010

Islam paksi kemuliaan.

Alhamdulillah segala puji tidak terhingga ana panjatkan kepada Allah s.w.t selaku Tuhan yang mengatur kejadian alam, dengan pasang surutnya laut, silih bergantinya malam dan siang dan semua makhluk tunduk patuh pada PerintahNya, tidak lupa juga ana untuk menjunjung kasih mengatur lidah agar selalu berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w yang pernah berjihad dan yang tidak pernah mengenal putus asa dengan jawatan dakwah di kalangan jin dan manusia. “allahumma solli a’la Muhammad waa’la alihi wasohbihi wasallim”.

Berkata jaguh islam Umar Al Khatab di kala umat islam dikurniakan kemenangan dengan merampas kembali Baitul Maqdis dari tangan Salib “kami adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan islam, barangsiapa yang mencari selain dari kemuliaan islam akan dijijikkan oleh Allah s.w.t” .

Sahabat-sahabat sekalian, islam perlu dijaga, penjagaannya bukan hanya menyeru atau berdakwah ke arahnya sahaja malah penjagaannya adalah beramal dengan aturan islam.

Dengan peraturan yang lengkap dari islam ianya akan membuahkan suatu hasil iaitu kemuliaan yang mutlak di dunia dan akhirat.

Kemuliaan di dunia ini, islam mengajar penganutnya agar tidak mengukur kemuliaan itu dari sudut kebendaan semata-semata, bahkan membuka minda penganutnya agar menilai dari sudut keberkatan. Berkat itu lahir dari gerak kerja yang diatur oleh islam, dengan berkat juga manusia akan dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan ketenangan, yakinlah wahai sahabat sekalian ketenangan itu akan hadir bila mana kita semakin hampir dengan Allah s.w.t. dan ianya menjadi suatu tanda ke arah peningkatan iman.

Kemuliaan di akhirat sana buat selamanya dengan dikurniakan pangkat VIP daripada Allah s.w.t dan berpeluang menerima mahligai indah bagi sesiapa yang bersungguh dalam mengumpul markah di dunia dahulu.

Di dalam islam jika diteliti secara mendalam, akan terbukti ianya amat berbeza dengan agama lain yang mana ajaran islam datang untuk mengangkat seseorang itu dengan mahkota kemuliaan.

Di antara sifat kemuliaan yang paling besar ialah mendarah dagingkan penganutnya bahawa tiada Tuhan yang layak menjawat jawatan itu melainkan Allah s.w.t

Amatlah hina jika dilihat sesiapa yang mengabdikan diri selain daripada Allah s.w.t kerana sifat itu amat bernilai yang dimilki oleh setiap jiwa manusia. Jika ianya bernilai sudah tentu perlu pada penelitian yang terperinci bila mana untuk menggunakannya. Tidak mungkin seseorang yang ingin menggunakan barang berharga tanpa membuat pertanyaan terlebih dahulu agar barang tersebut selamat digunakan, di antara pertanyaan itu datanglah ayat Al Quran menggunakan lafaz tanya untuk menjadi pedoman pada jiwa yang bernilai.

Firman Allah s.w.t yang membawa maksud :

“Ibrahim berkata: Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?" Ibrahim 66.

Islam juga mendidik penganutnya supaya menjadi orang yang soleh di muka bumi ini dengan diiringi pelbagai pesanan dan azimat yang terkandung di dalam Al Quran dan Hadis.

Amalan soleh yang telah diperkenalkan oleh islam itu bukan sahaja dapat menjamin kemuliaannya di mata manusia bahkan dapat mendekatkan diri seorang hamba kepada Penciptanya. Cara untuk beramal dengan kehendak islam mestilah diiringi dengan perasaan ikhlas,tawadhu’,istiqamah dan tawakkal kerana ianya mampu menghindari seseorang muslim dari sifat riak,takabbur dan sum’ah.

Oleh itu islam mengajar lagi pada menganutnya agar sederhana dalam semua keadaan, kesederhanaan itu di kenali sebagai zuhud.

“Daripada Al Abbas sahli bin sa’d Assai’di r.a berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu menyeru, wahai Rasulullah tunjukkan kepadaku satu amalan jika aku melakukannya nescaya aku dikasi Allah s.w.t dan juga manusia? Rasulullah s.a.w bersabda zuhudlah kamu dengan kemewahan dunia nescaya akan dikasihi oleh Allah s.w.t dan zuhudlah kamu di kalangan manusia nescaya akan dikasihi mereka.Hadis hasan.”

Sesungguhnya sifat mulia zuhud tersebut bukan bererti kita meninggalkan segala kemewahan, akan tetapi menggunakan sekadar keperluan sahaja dan membelanjakan lebihan harta itu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t dan senantiasa mendidik hati agar tidak tertawan dengan keseronokan dunia kerana ianya betsifat dengan sementara.

Sabda Rasulullah s.a.w “ Orang yang zuhud bukan mengharamkan yang halal, bukan memboroskan harta (membazir), akan tetapi orang yang juhud itu dapat mengawal harta kemewahan ke jalan Allah s.w.t” riwayat Tirmizi.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal” Ghafir 39.

Sahabat sekalian, gunalah kesempatan hidup ini untuk beramal dengan bersungguh-sungguh kerana ianya datang hanya sekali.

Berwaspadalah kamu dengan keinginan nafsu yang selalu ditemani oleh syaitan, janji syaitan untuk mengahlikan penduduk neraka tidak akan luput selagi tidak datangya kiamat.

Maaf bermafan dan saling berlapang dadalah di antara kamu kerana sifat itu dapat melahirkan suasana murni.

Berbuat baiklah kamu dengan semua makhluk Allah s.w.t di muka bumi ini kerana mereka juga ciptaanNya dan mempunyai hak untuk tinggal bersama.

Jangan selalu menyalahkan orang lain bak kata pepatah yang telah di upgrade “Semut di sebalik gunung jelas kelihatan, gajah di hadapan mata kabur kesamaran”

Menuding jari mengatakan orang lain tidak mengerti sebenarnya membawa erti diri sendiri tidak di peduli. Jari telunjuk angkuh menghala kesana kemari, akan tetapi tidak pernah sedar baki jari malu tunduk menunjuk diri. "Berhikmah itu indah bagi yang memahami".