Sabtu, 26 Disember 2009

Berwaspadalah dengan 5 perkara.

1- PERBANYAKKAN MENYEBUT ALLAH DARI MENYEBUT MAKHLUK.

Sudah menjadi kebiasaan kita menyebut atau memuji seseorang yang berbuat baik kepada kita sehinggakan kadang-kadang kita terlupa untuk memuji kepada Pencipta yang tidak pernah putus-putus mengurniakan nikmat dan kebaikan untuk kita.

Orang yang berbuat baik kepada kita, kita puji habis-habisan dengan kebaikannya, akan tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah kuniakan langsung tidak disyukuri. Sebaik-baiknya basahkanlah lidah kita dengan memuji Allah setiap detik dan ketika tanda tunduk dan syukur kita padaNya, bukan dengan ucapan Al-hamdulillah itu hanya sesudah kenyang sehingga sedawa, biarlah Pujian itu sebati di lidah dan berselera hingga ke hati.

2- PERBANYAKKAN MENYEBUT URUSAN AKHIRAT DARI URUSAN DUNIA.

Dunia ini terlalu sekejap jika dibandingkan dengan akhirat kerana masa atau tahun di dunia hanya tertakluk kepada pusingan matahari, adapun di akhirat ukuran hari, bulan dan tahun bukan lagi dikira dari pusingan matahari.

1000 tahun di dunia sama ukuran masa sehari di akhirat, alangkah kecilnya jika di nisbahkan umur dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang kurang cerdik sahaja terlalu sibuk memikirkan Wawasan Dunia(WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat(WA).

Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tidak penting, yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tidak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda dengan ketaatan. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut perihal akhirat kerana takut terlupa dengan peluang hidup di dunia ini hanya sekali.

3- PERBANYAKKAN MENYEBUT HAL KEMATIAN DARI HAL KEHIDUPAN.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tanpa memikirkan bekalan hidup selepas mati. Memikirkan hal kematian adalah hukumnya sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan sentiasa bersiap sedia dengan ajal yang akan berkunjung entah bila.

Perjalalanan untuk menuju negeri akhirat amatlah jauh dan ia memerlukan bekalan yang banyak, jadi kumpullah bekalan sebanya-banyaknya untuk kegunaan di sana taku-takut bekalan itu habis di tengah jalan.

Contohilah saidina Ali r.a walaupun sudah dijanjikan syurga masih lagi mengeluh bimbang dengan bekalannya berkurangan. Dunia ini hanya tempat persinggahan sementara, oleh itu janganlah lupa dengan tempat yang menjadi tujuan semua manusia.(akhirat)

4- JANGAN BANYAKKAN MENYEBUT KEBAIKAN DIRI DAN KELUARGA.

Syaitan akan sentiasa menggoda kita dari sudut kelemahan yang ada pada diri kita, segala amalan yang baik akan digoda hinggalah amalan itu rosak dan busuk.

Sudah fitrah kejadian manusia suka di puji, amalan yang baik tidak sabar rasanya untuk di wartakan di dada akhbar supaya ramai yang mengetahui, bak rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'.

Kita terlupa bahawa dengan menyebut kebaikan kita itu akan menimbulkan satu penyakit di dalam hati, penyakit itu di kenali sebagai penyakit ujub, penyakit ini ibarat api dalam sekam dapat menghanguskan pahala kebajikan yang ada. Lebih dahsyat lagi jika ditemani dengan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga.

Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati daripadanya agar kita dapat menghindari diri daripada mengungkit kebaikan diri di hadapan orang lain.

Kita perlu sedar bahawa perbuatan baik yang kita miliki itu sebenarnya datang dari Allah, Allah yang menyuruh kita berbuat kebaikan. Segala kebaikan yang ada perlulah diiringi dengan syukur kepadaNya kerana menjadikan kita dari kalangan orang yang baik.

5- JANGAN TONJOLKAN KEBAIKAN DIRI DAN KEBURUKKAN ORANG.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan akan menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita ghairah melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua 'Semut di sebalik gunung jelas kelihatan, gajah di hadapan mata kabur kesamaran'.

Islam menuntut supaya kita melihat kekurangan diri agar kekurangan itu dapat dibaiki dari hari ke hari selagi usia masih berbaki.

Menuding jari mengatakan orang lain tidak mengerti sebenarnya memberi isyarat bahawa diri sendiri tidak di peduli. Jari telunjuk angkuh menghala kepada orang,akan tetapi tidak pernah sedar baki jari malu tunduk menunjuk diri. "Buatlah sesuatu dengan cara Hikmah".

Oleh sebab itu, biasakanlah diri melihat keburukan diri sendiri dari melihat keburukan orang lain.

Islam mengajar kita supaya jangan terlalu cepat menghukum, hanya kesilapan sekali bagi orang hukumnya buat selama-lamanya, kesilapan kita sekali lebih baik dari orang lain. (alasan kita : orang lain teruk lagi)

Hanya dengan cara muhasabah diri akan menyelamatkan kita dari tipudaya syaitan yang selalu mengatur langkah agar matlamatnya berjaya dalam operasi mengahlikan kita menjadi penghuni negeri neraka bersama-samanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen